Tuesday 21 February 2012

PERTALIAN HIDUP



Sesungguhnya kewajiban seseorang hamba ialah mentaati perintah Allah sebagai batu asas yang paling utama dalam konsep kepercayaan, kemudian diikat pula dengan ketaatan lain terhadap perintah Rasulullah s.a.w. sebagai batu asas yang kedua dalam konsep kepercayaan hidup termasuk segala percakapan, perbuatan dan amalan hidup baginda s.a.w. menjadi nilai ketaatan. Kedua-dua perintah tersebut menjadi sumber asas dalam pengabdian hidup seseorang hamba yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Segala perintah Allah yang  terdapat di dalam Al Quran merupakan arahan-arahan yang praktikal dan wajib dilaksanakan menurut kaedah-kaedah yang digariskan dalam syari’at. Manakala arahan-arahan tersebut mempunyai kepelbagaian bidang kehidupan dan cabang rantingnya serta ruang-lingkupnya sekali yang mencakupi semua sekali aspek kehidupan manusia, sama ada di dunia dan di akhirat. Manakala As Sunnah s.a.w. merupakan kisah perjalanan hidup baginda s.a.w. yang menghuraikan secara lengkap isi kandungan Al Quran. Menjadi kelaziman, di antara ayat-ayat yang diturunkan adakalanya berkaitan dengan sesuatu peristiwa atau sesuatu kejadian yang berlaku, lalu ayat-ayat itu diturunkan untuk menjelaskan keadaan dan realiti yang berlaku. Adakalanya pula, ianya diturunkan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan yang di hadapi oleh umat Islam ketika itu, maka apabila ayat-ayat tersebut diturunkan, secara tidak langsung dapat menyelesaikan dengan segera segala permasalahan yang timbul ketika itu.Kedua-dua perintah tersebut wajib diberi kepatuhan dan wajib pula dilaksanakan secara mutlak tanpa ada bantahan atau pilihan, sama ada ingin melaksanakan atau sebaliknya, sama ada ianya berbentuk suruhan ataupun berbentuk larangan.

Firman Allah Ta'ala:
يأيُّهاَ الَّذيَنَ أمَنُوا أطِيْعُوا الله وَرَسُولَهُ
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman: Taatlah kamu kepada perintah Allah dan taatlah kamu kepada perintah RasulNya” (Al Anfal: 20).

Disebut dalam ayat ini ketaatan kepada Allah dan ketaatan Rasul s.a.w. secara bersama atau beriringan. Maksud ketaatan di sini ialah ketaatan kepada perintah Allah dan perintah RasulNya s.a.w. Sebenarnya, ayat ini telah diperkuatkan dengan sepotong ayat yang lain, sebagaimana firman Allah Ta’ala;

قُلْ إِنْكُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللهَ فَاتَّبِعُوْنِىْ يُحْبِبْكُمُ اللهَ
Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad)..! Sekiranya kamu kasih akan Allah, maka ikutlah aku nescaya Allah kasih kepada kamu ” (Ali ‘Imran: 31).

Seseorang hamba harus mengetahui, bahawa dia sekarang adalah seorang hamba Allah, bukan hamba manusia dan bukan pula seorang ‘kuli’ yang boleh cucuk hidung dan diarah sesuka hati oleh manusia. Dia bukan seorang hamba yang boleh menerima arahan sesuka hati dan boleh diarahkan oleh sesiapa sahaja. Dia perlu memahami, bahawa dia hanya menjadi hamba kepada Allah sahaja, dia hanya perlu taat kepada perintah Allah sahaja dan dia perlu berjuang di atas jalan Allah sahaja.  Nilai-nilai seseorang hamba di sisi Allah sangat jauh berbeza dengan nilai-nilai seseorang hamba di sisi manusia, kerana hamba di sisi Allah diarah melaksanakan ‘plan tindakan’ yang diatur-galur dalam syari’at secara berterusan dan wajib pula dipatuhi, kerana ianya merupakan kunci ‘ubudiyyah dalam temasya kehidupan. Manakala hamba di sisi manusia membawa pengertian bekerja untuk tuan, bukan suatu ketaatan yang mencapai darjat ketuhanan dan perintahnya pula tidak mengapa seandainya tidak dilaksanakan, namun ianya hanyalah suatu tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Dia sekarang terikat dengan peraturan dan undang-undang Allah, bukan kepada peraturan dan undang-undang manusia, dia sekarang menjadi hamba Allah, bukan menjadi hamba manusia. Seandainya dia seorang hamba yang mempunyai hubungan yang rapat dengan ketuhanan Allah, dia tidak harus gentar menghadapi tekanan hidup yang datang menjelma, sekalipun tekanan itu datang bagaikan hujan yang turun mencurah-curah dari langit, namun dia menghadapi realiti hidup dengan perasaan hati tabah. Jiwanya tidak harus merasa gerimis dan jiwanya mestilah selalu optimis.

Sekian, wassalam




No comments:

Post a Comment