Tuesday 21 February 2012

TANGGUNGJAWAB



Sesungguhnya nilai-nilai pengabdian telah memberi sumber kekuatan kepada hamba-hamba Allah yang  sentiasa bertaqwa kepadaNya untuk terus berjuang di atas prinsip kebenaran dan mereka cuba mengorak langkah memainkan peranan membina keutuhan Islam di atas ubun-ubunnya sendiri. Ini kerana, kekuatan Islam itu adalah terletak di atas hamba-hamba Allah oleh yang soleh yang sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang mulia itu. Mereka menjadi hamba yang berperanan untuk memikul amanah ketuhanan Allah, amanah untuk meletakkan hakikat Islam dan manhaj hidupnya ke tempat asal sebagaimana yang diturunkan sejak dahulu, amanah untuk menjadi pelaksana kepada ajaran-ajaran Islam dan mempraktikkan segala rupa bentuk kewajiban mengikut garis panduannya. Mereka menjadi hamba yang bertanggungjawab untuk membawa bingkisan dakwah dan menyebarkan ke seluruh masyarakat agar mereka menjadi manusia yang mempunyai pegangan dan pendirian hidup. Tamadun kemanusiaan dapat direalisasikan dalam bentuk yang lebih spesifikasi apabila program dalam kehidupan itu mencakupi semua sekali aspek, yang meliputi kehidupan duniawi dan kehidupan ukhrawi.   Penyebaran dakwah ke dalam masyarakat ialah bertujuan untuk membina tamadun kehidupan yang baru  selaras dengan kehendak syari’at. Akan tetapi, pembinaan tamadun tersebut akan dapat dilaksanakan setelah mereka berjaya dibawa keluar dari kemelut kejahilan dan kehinaan. Faktor mereka menjadi jahil dan hina adalah kerana mereka menjadi hamba sesama manusia, mereka memperhambakan diri untuk taat dan patuh kepada perintah manusia, tidak kepada perintah Allah.

         Sebab itu, mereka semua perlu didakwah dan diberi penerangan tentang cara hidup Islam, hati mereka perlu dibasuh dan diberus serta digilap supaya hilang daki kekotorannya agar kelihatan bersinar dan terpancar cahaya kebenarannya. Apabila mereka faham dan mengerti tentang realiti Islam yang sebenar, maka dengan sendirinya mereka berjaya menghindarkan diri mereka dari dipukul arus kejahilan dan kehinaan. Maka, di saat itu akan terbina tamaddun kemanusiaan yang baru yang bebas dari suku sakat jahiliyah dan kepercayaan khurafat.

Allah Ta'ala telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana syaitan adalah musuh kamu yang paling nyata” (Al Baqarah: 208).
        
         Penghayatan hidup secara Islam adalah menyeluruh dan Islam tidak sekali-kali menerima pelaksanaan dalam program hidupnya tidak menyeluruh atau secara separuh atau mengambil sebahagian sahaja dan kemudian dibuang sebahagian yang lain. Islam tidak boleh menerima sistem hidup seumpama itu, kerana telah dikatakan sejak awal lagi bahawa program hidup Islam adalah sesuai untuk nilai-nilai kemanusiaan itu sendiri dan boleh diamalkan oleh semua peringkat manusia.Dalam erti kata yang lain, mengambil sebahagian dari ajaran Islam yang difikirkan sesuai dan meninggalkan sebahagian yang lain kononnya tidak sesuai dengan keadaan semasa, semuanya itu adalah tipu daya syaitan laknat yang memperdayakan diri manusia di bawah telujuk hawa nafsu yang jijik. Jika demikian rupa, manusia jenis ini nanti akan menjadi mundur ke belakang dan mereka akan terjebak dalam kancah kehidupan jahiliyyah moden yang tidak mengamalkan cara hidup Islam secara menyeluruh. Apa yang sangat dibimbingi sekarang ialah budaya hidup yang ‘separuh masak’ ini akan menyebabkan ummat Islam dipermain-mainkan oleh musuh-musuh Islam yang durjana, kerana mereka yang bersikap ‘separuh masak’ ini sudah tentu tidak mempunyai pegangan hidup yang kuat dan tidak bertanggungjawab dalam urusan agama. Jika demikian, bagaimana Allah mahu menghantar petunjukNya kepada manusia yang seumpama ini, bagaimana pula Allah mahu mencurahkan kurniaan dan rahmatNya kepada manusia yang bersikap ‘separuh masak’ seperti ini, sedangkan terang-terang mereka bukan di kalangan manusia yang mempraktikkan ajaran Islam secara menyeluruh. Sebagaimana yang diketahui, bahawa syarat untuk mendapat petunjuk dan limpah kurnia dari Allah ialah melaksanakan program hidup Islam secara menyeluruh, iaitu secara semua sekali tanpa meninggalkan sedikitpun di belakang.

         Syarat itu juga merupakan syarat kesempurnaan iman seseorang hamba, kerana meninggalkan sebahagian dari ajaran agama bererti dia masih sangsi dan masih ada perasaan ragu-ragu tentang kebenaran ajaran Islam itu, di celah-celah dinding hati mereka masih melekat perasaan yang tidak ‘berapa yakin’ dengan baik buruk ajaran Islam, seolah-olah ajaran Islam itu memerlukan experiment untuk menentukan kesyumulannya. Ini adalah sikap sebahagian dari orang-orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan sikap ini adalah sikap yang tidak bertanggungjawab…!

         Sesungguhnya jiwa seseorang hamba yang beriman ialah jiwa ketaatan, jiwa yang bertanggungjawab terhadap amalan hidup Islam. Apabila jiwa ketaatan itu dapat ditanam dan dibentuk dalam diri seseorang hamba sehingga menjadi sebati dengan darah dagingnya, maka dia akan menjadi seorang hamba yang sentiasa mempunyai pertalian dengan Allah, benih-benih ketaatan yang ditanam itu akan terus hidup bercambah yang menghubungkan tali keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya. Sesungguhnya sikap yang tidak bertanggungjawab akan merugikan Islam dan umat Islam itu sendiri, sikap seumpama itu juga merupakan lambang kemunduran umat Islam. Manakala sikap bertanggjawab akan menguntungkan Islam dan umat Islam, maka sikap seumpama inilah yang diperlukan oleh setiap umat Islam agar Islam dan umatnya menjadi kuat.

Allah Ta’ala berfirman:

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا
Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang soleh, sama ada lelaki atau perempuan sedangkan dia beriman, maka mereka akan masuk syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun” (An Nisa’: 124).

Sekian, wassalam




No comments:

Post a Comment