Tuesday 21 February 2012

KETAATAN

Jiwa seseorang muslim ialah jiwa yang sentiasa taat kepada perintah Allah, iaitu jiwa pengabdian dan jiwa perhambaan. Jiwa yang diasuh untuk taat setia hanya kepada perintah Allah, bukan kepada perintah yang lain. Konsep pengabdian ialah konsep yang menekankan prinsip asas dalam ajaran Islam. Setiap hamba yang beriman mesti taat kepada perintah Allah, kerana mentaati perintah Allah menjadi syarat kesempurnaan iman seseorang hamba.


Firman Allah Ta’ala:
قُلْ أَطِيعُوا الله وَالرَّسُولَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “ Katakanlah! Taatlah kamu kepada perintah Allah dan perintah RasulNya, sekiranya mereka berpaling, sesungguhnya Allah tidak mencintai orang-orang yang tidak beriman” (Ali ‘Imran: 32).

         Jiwa yang taat kepada perintah Allah adalah jiwa yang sentiasa kasih kepada Allah, jiwa yang sentiasa hadir untuk menghayati kebesaran dan keagungan Allah, jiwa yang membebaskan diri dari belenggu jahiliyyah dan  segala rupa bentuk kepercayaan yang karut-marut, jiwanya itu adalah jiwa yang sentiasa tunduk dan patuh kepada seruan Allah.Demikianlah,bahawa seseorang hamba yang mendapat cahaya petunjuk dari Allah ialah hamba yang sentiasa taat dan patuh kepada perintah Allah, dia tidak pernah memprotes arahan-arahan Allah dan tidak pernah mungkir janji apabila dia mengikat perjanjian dengan Allah, dia tidak pernah melakukan apa-apa bentuk  maksiat dan perlanggaran yang boleh menghalang dirinya dari menerima cahaya dari Allah.Seseorang hamba yang mendapat cahaya petunjuk  dari Allah pasti akan merasai kesegaran iman dalam dirinya dan perjalanan hidupnya pasti kelihatan tenang dan terang, kerana cahaya petunjuk itulah yang menyuluh laluan hidupnya. Sudah tentu, hidupnya itu pasti akan mendapat keberkatan.Seseorang hamba yang taat setia kepada perintah Allah ialah hamba yang mempunyai iman yang luhur kepada Allah, dia akan menjadi pelaksana kepada arahan-arahan yang diturunkan oleh Allah walau di dalam apa jua keadaan dan walau di mana tempat sekalipun. Dia tetap mempraktikkan arahan Allah itu tanpa perasaan segan silu dan tanpa perasaan takut, kerana dia tahu bahawa pergantungan hidupnya adalah kepada Allah, maka dia hanya perlu takut kepada Allah.Ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah mencakupi pelbagai perkara yang menyentuh persoalan hidup mati dan persoalan dunia akhirat.

         Namun, apa jua sekalipun ajaran  Islam mesti diamalkan secara praktikal mengikut lunas-lunas dan garis panduan yang telah ditetapkan dalam syari’at. Sebab itu, ajaran Islam tidak boleh diubah-suai mengikut selera dan hawa nafsu semasa dan tidak boleh  pula ditokoh-tambah dengan mana-mana ajaran, kerana ajaran Islam telah sempurna segala-galanya dan tidak perlu kepada pengubah-suaian dan apa bentuk penambahan. Lagipun, ajaran Islam boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira batas usia dan jantina, tanpa mengira apa jua bangsa dan kaum, tanpa mengira batas keturunan dan ikatan pertalian darah, tanpa mengira warna kulit hitam atau putih, apabila mereka telah diikat dengan ikatan tali keimanan, mereka semua adalah sama sahaja di sisi Allah.Al Quran telah menggambarkan sifat dan peri laku hamba-hamba Allah yang soleh yang sentiasa mengabdikan dirinya kepada Allah, mereka mendapat cahaya petunjuk dari Allah dengan sebab pengabdian hidupnya itu melewati segala-galanya. Ketika datang seruan yang menyeru mereka supaya menerima kehakiman yang diturunkan oleh Allah di dalam melaksanakan sesuatu hukuman, lantas mereka menyahut seruan tersebut dengan hati terbuka.

Benarlah firman Allah:

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَوَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
Maksudnya: “ Perkataan orang-orang yang beriman apabila mereka diseru kepada Allah dan RasulNya supaya berhukum di antara mereka ialah: Kami dengar dan kami taat, mereka itulah mendapat keuntungan. Sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, takut serta bertaqwa kepadaNya, itulah orang-orang yang memperolehi kemenangan “. (An Nur: 51-52).

Islam dalam menjelma dalam kehidupan seseorang hamba adalah untuk mengubah struktur kehidupannya, baik dari sudut pemikirannya, kepercayaan dan pegangan hidupnya, corak perangai dan tingkah lakunya, akhlak dan pekertinya. Islam akan mengubah semua sekali bentuk pengabdian yang menyeleweng dari landasan hidup yang sebenar, seperti pengabdian kepada patung berhala atau pengabdian sesama manusia atau pengabdian kepada perkara-perkara khurafat, lalu Islam menukarkan bentuk pengabdian itu hanya kepada Allah semata-mata. Nilai-nilai pengabdian itu akan mengubah rentak hidup seseorang hamba, seandainya dia telah biasa bergelombang dalam arus jahiliyah ketika dahulu dan kemudian dia  kembali ke pangkuan jalan untuk menerima Islam sebagai suatu cara hidup, maka dia pasti akan dapat membuat  contoh perbandingan, bahawa di sana terdapat suatu jurang perbezaan yang amat jauh di antara cara hidup jahiliyah dengan  cara hidup Islam. Nilai-nilai pengabdian itu juga akan membentuk nilai-nilai spiritual dan nilai-nilai fizikal untuk dikombinasikan membentuk satu tenaga yang kuat dalam diri seseorang hamba, nilai-nilai tersebut akan memperkukuhkan potensi iman di dalam hati sanubari dan jiwa nuraninya. Seorang ahli sufi yang terkenal bernama Ismail bin Najib telah berkata mengenai pengabdian hidup:

لاَ تَصْفُو ِلأَحَدٍ قَدَمُ اْلعُبُوْدِيَّةِ حَتَّى يُشَاهِدَ أَعْمَالَهُ عِنْدَهُ رِيَاء وَأحَوَالُهُ دَعَاوِى
Maksudnya: “ Jangan kamu aturkan bagi seseorang itu di hadapan ‘ubudiyyah sehingga dia dapat menyaksikan segala amalannya bahawa di sisinya itu mengandungi perasaan riya dan keadaannya yang mereka dakwa”.

Problam dalam kehidupan dan permasalahannya pasti akan dapat diselesaikan apabila perasaan hati seseorang hamba itu tulus ikhlas ketika berada di jalan Allah. Apabila dia melakukan upacara ibadat kepada Allah, dia hanya perlu membina keazaman dan keikhlasan diri serta niat yang suci di dalam hati sanubari dan jiwa nurani. Apabila dia  mengorak langkah, langkahnya kelihatan tersusun rapi dan berhati-hati, langkahnya terus ke pangkuan Ilahi, itulah langkah seorang hamba yang mencari keredhaan Ilahi.

Sekian, wassalam.

No comments:

Post a Comment