Tuesday 21 February 2012

KEIMANAN



Sesungguhnya Islam yang diturunkan oleh Allah merupakan ad deen, iaitu suatu cara hidup yang berkesan untuk memandukan manusia ke jalan yang benar. Islam mengemukakan manhaj hidup dan programnya sendiri untuk mengubah pemikiran manusia supaya mereka dapat berfikir secara lebih rasional tentang hakikat sesuatu perkara dan mengajak mereka menghayati konsep penciptaan alam dengan keagungan dan kebesaran AIlah. Islam juga datang menjelma untuk membentuk akhlak dan tingkah laku manusia dengan mengemukakan nilai-nilai moral yang tinggi yang bersandarkan kepada keluhuran iman. Bererti, manusia yang berakhlak mulia dan mempunyai tingkah laku yang baik adalah manusia yang mempunyai keluhuran iman.Islam juga merupakan suatu pegangan hidup untuk diletakkan ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani manusia. Bererti, Islam itu adalah suatu keyakinan dan satu kepercayaan untuk mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Islam mengemukakan konsep pengabdian dalam kehidupan manusia adalah untuk mencetuskan nilai-nilai keimanan terhadap seseorang hamba tentang keagungan Allah dan kebesaranNya.Islam mempunyai falsafah hidupnya sendiri untuk membina tamadun kemanusiaan yang mencakupi pelbagai bidang dan lapangan hidup, sama ada di dunia dan di akhirat.Sebab itu, Islam membentuk manusia dan mengajar mereka dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara, hatta kepada perkara-perkara sam’iyat, iaitu perkara-perkara yang abstrak juga diajar oleh Islam, seperti kehidupan di alam kubur, adanya nikmat kubur dan azab kubur, adanya kehidupan selepas mati, adanya titian sirath, adanya mizan atau timbangan amal, adanya syurga untuk orang-orang yang melakukan kebaikan, adanya pula neraka untuk orang-orang yang melakukan kejahatan dan lain-lain lagi.Semuanya sekali diajar oleh Islam dan segala apa jua perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan kehidupan diajar oleh Islam, kerana Islam yang diturunkan itu adalah untuk menyelesaikan permasalahan hidup manusia dan kemudian membimbing mereka ke arah petunjuk.

         Di saat itu, ajaran Kristian dan ajaran Yahudi terpaku kelu dan tidak tahu mencari jalan penyelesaian untuk membawa keluar manusia dari kemelut kejahilan, kerana kedua-dua ajaran tersebut telah menyimpang dari jalan yang benar. Jika demikian, bagaimana kedua-dua ajaran tersebut dapat mengubah rentak hidup manusia dan bagaimana pula mereka ingin menarik keluar manusia dari gelombang kesesatan..? Apatah lagi fahaman-fahaman lain dan teori-teori yang direka-cipta oleh manusia durjana kononnya untuk mencari formula membentuk manusia mencari kedamaian hidup, sedang ajaran Kristian dan ajaran Yahudi yang sekian lama bertapak tidak mampu melakukan apa-apa perubahan kepada manusia untuk..!

      Apabila nilai-nilai pengabdian itu datang menjelma dalam kehidupan seseorang hamba, maka di sana akan berlaku perubahan dalam dirinya daripada menjadi seorang  hamba yang tidak mempunyai pendirian hidup kepada seorang hamba yang mempunyai etika dan pegangan hidup. Juga, dia mampu mencorak-warnakan kehidupannya sendiri dengan membawa ramuan yang diambil dari syari’at ILAHI. Maka sudah tentu, apabila nilai-nilai pengabdian itu menguasai ruang-lingkup kehidupannya, maka dia tetap menjadikan ketuhanan Allah sebagai batu asas atau akar tunjang dalam kehidupannya. Kisah pengabdian hidupnya kepada Allah akan diabadikan buat selama-lamanya dalam kehidupannya itu dan dia tidak mungkin mengubah atau merombak atau membuat apa-apa bentuk pindaan dalam kehidupannya itu, kisah pengabdian hidupnya tetap sebati menjadi darah daging dengan ketuhanan Allah. Dia tetap menjadi hamba Allah yang sentiasa bertaqwa kepadaNya, dia tetap menumpahkan taat setianya kepada perintah Allah, adapun perintah lain selain dari perintah Allah belum tentu harus ditaati sehingga terbukti ianya tidak bercanggah dengan peraturan syari’at. Dia selalu mengingati Allah setiap waktu, setiap pagi dan petang, siang dan malam. Ingatannya sentiasa tertumpu kepada Allah dan diiringi pula dengan doa memohon restu kepadaNya. Dia selalu beramal dan beribadat kepada Allah semata-mata untuk mencari keredhaanNya Allah. Perasaan hati sanubari dan jiwa nuraninya kelihatan tenang apabila merenung kebesaran dan keagungan Allah dalam realiti penciptaanNya, perasaan degup jantungnya sentiasa berdetak memikirkan betapa kebesaran dan keagungan Allah itu tiada ternilai dan tiada bandingannya dengan sesiapapun di atas dunia ini.

         Demikian, nilai-nilai pengabdian itu telah menguasai perasaan hatinya dan saluran nadinya untuk menyaksikan kehebatan Allah dalam penciptaanNya. Akhirnya, di sana dia dapat mencetuskan ketenangan dalam dirinya untuk membentuk panorama baru dalam kehidupan.

Firman Allah Ta’ala:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلاَ بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: " Orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka mengingati Allah, ketahuilah!Dengan mengingati akan Allah boleh memberi ketenangan kepada hati " (Ar Ra'd: 28).

Perasaan hati sanubari dan jiwa nurani seseorang hamba yang mempunyai ketenangan dalam dirinya kepada Allah terlalu indah untuk diperkatakan, dia mempunyai sikap hati dan kelebihannya sendiri terhadap ketuhanan Allah untuk menyaksikan kekuasaan dan keagunganNya. Jiwa raganya sentiasa berada dalam keadaan tenang dengan nilai-nilai keimanan dan ketaqwaan diri, dia sentiasa meletakkan realiti yang ada dan perjalanan hidupnya untuk kembali ke pangkuan Allah, kerana pergantungan hidupnya sekarang ialah kepada Allah semata-mata. Bahawa sikap hati seseorang hamba yang beriman sentiasa menyebut nama Allah, kerana itulah  sebenarnya tugas dan tanggungjawab sebagai seorang hamba. Sebab itu, sikap hatinya tidak dapat dipengaruhi oleh mana-mana sumber yang datang dari luar ajaran Islam, dia tidak dapat menerima-pakai sumber yang merosakkan pendirian hidup manusia, seperti fahaman-fahaman yang menyeleweng dari nilai-nilai kemanusiaan, teori-teori yang direka-cipta untuk menandingi cara hidup Islam, pandangan dan pendapat yang menghentam ajaran Islam secara membabi buta serta apa saja bentuk pengaruh yang menyimpang dari kebenaran.



Sekian, wassalam


No comments:

Post a Comment