Tuesday 21 February 2012

AMALAN

Sesungguhnya Islam telah menurunkan program kehidupannya sendiri kepada manusia berasaskan kepada realiti yang ada, program tersebut amat sesuai dengan naluri dan tabiat kehidupan manusia, kerana nilai-nilainya adalah berbentuk kemanusiaan, bukan berbentuk kehaiwanan atau seumpamanya. Program hidup Islam mudah sahaja, iaitu mengabdikan diri kepada Allah dan beramal kepada suruhanNya, kerana hak seorang hamba ke atas Tuhannya ialah mempraktikkan arahan Tuhannya. Nilai-nilai pengabdian itu diikat dengan penguasaan iman di dalam hati sanubari dan jiwa nurani, kerana bentuk penghayatan terhadap Allah itu ialah mempraktikkan segala arahan yang diturunkan oleh Allah, melaksanakan segala suruhanNya, mengerjakan segala titah dan perintahNya, membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Di dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudri r.a. yang diambil dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

سَبْعَةٌ يَظِلُّهُمُ اللهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلّ اِلاَّ ظِلِّهِ إمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌ نَشاء بِعِبَادَةِ اللهِ تَعَالَى وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلِّقٌ بِاْلمَسْجِدِ إذَا خَرَجَ مِنْهُ حَتَّى يَعُوْدَ إلِيْهِ وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِى اللهِ اجْتَمَعَا عَلىَ ذَلِكَ وَتَفَرَقَّا عَلَيْه وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ تَعَالَى خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأةَ ٌذَاتَ حَسَنٌ وَجَمَالٌ فَقَالَ: إِنِّى أَخَافُ اللهَ رَبَّ الْعَالَمِيْنِ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمُ شِمَالُهُ مَا تَنْفَقُ يَمِيْنِهِ
Maksudnya: “ Terdapat tujuh golongan yang berada di bawah perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindunganNya, pertama: Pemerintah yang berlaku adil, kedua: Pemuda yang menghabiskan masanya beribadat kepada Allah, ketiga: Lelaki yang hatinya sentiasa bergantung kepada masjid, setelah dia keluar sehingga dia kembali semula ke masjid, keempat: Dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, sama ada ketika bersama atau ketika berpisah, kelima: Lelaki yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sunyi lalu mengalir air matanya, keenam: Lelaki yang diajak berzina oleh perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupawan pula, lalu dia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan Sekalian Alam dan yang ketujuh: Lelaki yang bersedekah dengan penuh keikhlasan lalu dia menyembunyikan sedekahnya itu, sehingga tangan kirinya tidak tahu bahawa tangan kanannya menghulurkan sedekah” (Riwayat Al Bukhari).

Konsep pengabdian menekankan persoalan amali dan praktik dalam setiap lanbkah dan perjalanan hidup seseorang hamba. Bererti, dia mesti mempraktikkan segala rupa bentuk amalan yang diwajibkan oleh Allah ke atas dirinya dan amalan yang dipraktikkan itu mestilah dilakukan secara berterusan dan tidak putus-putus. Dia mesti beristiqomah dengan amalan yang dilakukan itu, kerana amalan tersebut adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Setiap hamba yang mengabdikan diri kepada Allah sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab kehidupan sebagai seorang muslim yang sejati, muslim yang benar-benar beriman kepada Allah. Dia sentiasa bersiap-sedia mengorak langkah dalam perjalanan hidupnya untuk menyahut seruan Allah, seruan yang membebaskan ikatan tali kejahilan dan kepercayaan khurafat yang menjijikkan. Perasaan hati sanubari dan jiwa nuraninya sentiasa terikat dengan suruhan dan arahan Allah. Kehidupan seseorang hamba yang mengabdikan diri kepada Allah adalah kehidupan yang dipenuhi dengan amal ibadat, kehidupan yang menyatakan rasa ketaatan kepada perintah Allah sebagai seorang hamba yang beriman, kehidupan yang sentiasa mengilap perasaan hati sanubari dan jiwa nuraninya dari noda dan dosa dengan berzikir kepada Allah selalu. Dia tidak merasa takut melainkan hanya takut kepada Allah, Tuhan Yang Maha Perkasa dan dia tidak sekali-kali tunduk melainkan hanya kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Kehidupan yang dibawanya itu adalah untuk dipersembahkan kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sekian, wassalam




No comments:

Post a Comment