Tuesday 21 February 2012

KETAATAN

Jiwa seseorang muslim ialah jiwa yang sentiasa taat kepada perintah Allah, iaitu jiwa pengabdian dan jiwa perhambaan. Jiwa yang diasuh untuk taat setia hanya kepada perintah Allah, bukan kepada perintah yang lain. Konsep pengabdian ialah konsep yang menekankan prinsip asas dalam ajaran Islam. Setiap hamba yang beriman mesti taat kepada perintah Allah, kerana mentaati perintah Allah menjadi syarat kesempurnaan iman seseorang hamba.


Firman Allah Ta’ala:
قُلْ أَطِيعُوا الله وَالرَّسُولَ ۖ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يُحِبُّ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “ Katakanlah! Taatlah kamu kepada perintah Allah dan perintah RasulNya, sekiranya mereka berpaling, sesungguhnya Allah tidak mencintai orang-orang yang tidak beriman” (Ali ‘Imran: 32).

         Jiwa yang taat kepada perintah Allah adalah jiwa yang sentiasa kasih kepada Allah, jiwa yang sentiasa hadir untuk menghayati kebesaran dan keagungan Allah, jiwa yang membebaskan diri dari belenggu jahiliyyah dan  segala rupa bentuk kepercayaan yang karut-marut, jiwanya itu adalah jiwa yang sentiasa tunduk dan patuh kepada seruan Allah.Demikianlah,bahawa seseorang hamba yang mendapat cahaya petunjuk dari Allah ialah hamba yang sentiasa taat dan patuh kepada perintah Allah, dia tidak pernah memprotes arahan-arahan Allah dan tidak pernah mungkir janji apabila dia mengikat perjanjian dengan Allah, dia tidak pernah melakukan apa-apa bentuk  maksiat dan perlanggaran yang boleh menghalang dirinya dari menerima cahaya dari Allah.Seseorang hamba yang mendapat cahaya petunjuk  dari Allah pasti akan merasai kesegaran iman dalam dirinya dan perjalanan hidupnya pasti kelihatan tenang dan terang, kerana cahaya petunjuk itulah yang menyuluh laluan hidupnya. Sudah tentu, hidupnya itu pasti akan mendapat keberkatan.Seseorang hamba yang taat setia kepada perintah Allah ialah hamba yang mempunyai iman yang luhur kepada Allah, dia akan menjadi pelaksana kepada arahan-arahan yang diturunkan oleh Allah walau di dalam apa jua keadaan dan walau di mana tempat sekalipun. Dia tetap mempraktikkan arahan Allah itu tanpa perasaan segan silu dan tanpa perasaan takut, kerana dia tahu bahawa pergantungan hidupnya adalah kepada Allah, maka dia hanya perlu takut kepada Allah.Ajaran Islam yang diturunkan oleh Allah mencakupi pelbagai perkara yang menyentuh persoalan hidup mati dan persoalan dunia akhirat.

         Namun, apa jua sekalipun ajaran  Islam mesti diamalkan secara praktikal mengikut lunas-lunas dan garis panduan yang telah ditetapkan dalam syari’at. Sebab itu, ajaran Islam tidak boleh diubah-suai mengikut selera dan hawa nafsu semasa dan tidak boleh  pula ditokoh-tambah dengan mana-mana ajaran, kerana ajaran Islam telah sempurna segala-galanya dan tidak perlu kepada pengubah-suaian dan apa bentuk penambahan. Lagipun, ajaran Islam boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja tanpa mengira batas usia dan jantina, tanpa mengira apa jua bangsa dan kaum, tanpa mengira batas keturunan dan ikatan pertalian darah, tanpa mengira warna kulit hitam atau putih, apabila mereka telah diikat dengan ikatan tali keimanan, mereka semua adalah sama sahaja di sisi Allah.Al Quran telah menggambarkan sifat dan peri laku hamba-hamba Allah yang soleh yang sentiasa mengabdikan dirinya kepada Allah, mereka mendapat cahaya petunjuk dari Allah dengan sebab pengabdian hidupnya itu melewati segala-galanya. Ketika datang seruan yang menyeru mereka supaya menerima kehakiman yang diturunkan oleh Allah di dalam melaksanakan sesuatu hukuman, lantas mereka menyahut seruan tersebut dengan hati terbuka.

Benarlah firman Allah:

إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَوَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقْهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ
Maksudnya: “ Perkataan orang-orang yang beriman apabila mereka diseru kepada Allah dan RasulNya supaya berhukum di antara mereka ialah: Kami dengar dan kami taat, mereka itulah mendapat keuntungan. Sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, takut serta bertaqwa kepadaNya, itulah orang-orang yang memperolehi kemenangan “. (An Nur: 51-52).

Islam dalam menjelma dalam kehidupan seseorang hamba adalah untuk mengubah struktur kehidupannya, baik dari sudut pemikirannya, kepercayaan dan pegangan hidupnya, corak perangai dan tingkah lakunya, akhlak dan pekertinya. Islam akan mengubah semua sekali bentuk pengabdian yang menyeleweng dari landasan hidup yang sebenar, seperti pengabdian kepada patung berhala atau pengabdian sesama manusia atau pengabdian kepada perkara-perkara khurafat, lalu Islam menukarkan bentuk pengabdian itu hanya kepada Allah semata-mata. Nilai-nilai pengabdian itu akan mengubah rentak hidup seseorang hamba, seandainya dia telah biasa bergelombang dalam arus jahiliyah ketika dahulu dan kemudian dia  kembali ke pangkuan jalan untuk menerima Islam sebagai suatu cara hidup, maka dia pasti akan dapat membuat  contoh perbandingan, bahawa di sana terdapat suatu jurang perbezaan yang amat jauh di antara cara hidup jahiliyah dengan  cara hidup Islam. Nilai-nilai pengabdian itu juga akan membentuk nilai-nilai spiritual dan nilai-nilai fizikal untuk dikombinasikan membentuk satu tenaga yang kuat dalam diri seseorang hamba, nilai-nilai tersebut akan memperkukuhkan potensi iman di dalam hati sanubari dan jiwa nuraninya. Seorang ahli sufi yang terkenal bernama Ismail bin Najib telah berkata mengenai pengabdian hidup:

لاَ تَصْفُو ِلأَحَدٍ قَدَمُ اْلعُبُوْدِيَّةِ حَتَّى يُشَاهِدَ أَعْمَالَهُ عِنْدَهُ رِيَاء وَأحَوَالُهُ دَعَاوِى
Maksudnya: “ Jangan kamu aturkan bagi seseorang itu di hadapan ‘ubudiyyah sehingga dia dapat menyaksikan segala amalannya bahawa di sisinya itu mengandungi perasaan riya dan keadaannya yang mereka dakwa”.

Problam dalam kehidupan dan permasalahannya pasti akan dapat diselesaikan apabila perasaan hati seseorang hamba itu tulus ikhlas ketika berada di jalan Allah. Apabila dia melakukan upacara ibadat kepada Allah, dia hanya perlu membina keazaman dan keikhlasan diri serta niat yang suci di dalam hati sanubari dan jiwa nurani. Apabila dia  mengorak langkah, langkahnya kelihatan tersusun rapi dan berhati-hati, langkahnya terus ke pangkuan Ilahi, itulah langkah seorang hamba yang mencari keredhaan Ilahi.

Sekian, wassalam.

AMALAN

Sesungguhnya Islam telah menurunkan program kehidupannya sendiri kepada manusia berasaskan kepada realiti yang ada, program tersebut amat sesuai dengan naluri dan tabiat kehidupan manusia, kerana nilai-nilainya adalah berbentuk kemanusiaan, bukan berbentuk kehaiwanan atau seumpamanya. Program hidup Islam mudah sahaja, iaitu mengabdikan diri kepada Allah dan beramal kepada suruhanNya, kerana hak seorang hamba ke atas Tuhannya ialah mempraktikkan arahan Tuhannya. Nilai-nilai pengabdian itu diikat dengan penguasaan iman di dalam hati sanubari dan jiwa nurani, kerana bentuk penghayatan terhadap Allah itu ialah mempraktikkan segala arahan yang diturunkan oleh Allah, melaksanakan segala suruhanNya, mengerjakan segala titah dan perintahNya, membuat apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang.

Di dalam sepotong hadith yang diriwayatkan oleh Abu Said Al Khudri r.a. yang diambil dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

سَبْعَةٌ يَظِلُّهُمُ اللهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلّ اِلاَّ ظِلِّهِ إمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌ نَشاء بِعِبَادَةِ اللهِ تَعَالَى وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلِّقٌ بِاْلمَسْجِدِ إذَا خَرَجَ مِنْهُ حَتَّى يَعُوْدَ إلِيْهِ وَرَجُلاَنِ تَحَابَّا فِى اللهِ اجْتَمَعَا عَلىَ ذَلِكَ وَتَفَرَقَّا عَلَيْه وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ تَعَالَى خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأةَ ٌذَاتَ حَسَنٌ وَجَمَالٌ فَقَالَ: إِنِّى أَخَافُ اللهَ رَبَّ الْعَالَمِيْنِ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمُ شِمَالُهُ مَا تَنْفَقُ يَمِيْنِهِ
Maksudnya: “ Terdapat tujuh golongan yang berada di bawah perlindungan Allah pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindunganNya, pertama: Pemerintah yang berlaku adil, kedua: Pemuda yang menghabiskan masanya beribadat kepada Allah, ketiga: Lelaki yang hatinya sentiasa bergantung kepada masjid, setelah dia keluar sehingga dia kembali semula ke masjid, keempat: Dua lelaki yang berkasih sayang kerana Allah, sama ada ketika bersama atau ketika berpisah, kelima: Lelaki yang berzikir kepada Allah dalam keadaan sunyi lalu mengalir air matanya, keenam: Lelaki yang diajak berzina oleh perempuan yang mempunyai kedudukan dan rupawan pula, lalu dia berkata: Sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan Sekalian Alam dan yang ketujuh: Lelaki yang bersedekah dengan penuh keikhlasan lalu dia menyembunyikan sedekahnya itu, sehingga tangan kirinya tidak tahu bahawa tangan kanannya menghulurkan sedekah” (Riwayat Al Bukhari).

Konsep pengabdian menekankan persoalan amali dan praktik dalam setiap lanbkah dan perjalanan hidup seseorang hamba. Bererti, dia mesti mempraktikkan segala rupa bentuk amalan yang diwajibkan oleh Allah ke atas dirinya dan amalan yang dipraktikkan itu mestilah dilakukan secara berterusan dan tidak putus-putus. Dia mesti beristiqomah dengan amalan yang dilakukan itu, kerana amalan tersebut adalah semata-mata untuk mencari keredhaan Allah. Setiap hamba yang mengabdikan diri kepada Allah sentiasa melaksanakan tugas dan tanggungjawab kehidupan sebagai seorang muslim yang sejati, muslim yang benar-benar beriman kepada Allah. Dia sentiasa bersiap-sedia mengorak langkah dalam perjalanan hidupnya untuk menyahut seruan Allah, seruan yang membebaskan ikatan tali kejahilan dan kepercayaan khurafat yang menjijikkan. Perasaan hati sanubari dan jiwa nuraninya sentiasa terikat dengan suruhan dan arahan Allah. Kehidupan seseorang hamba yang mengabdikan diri kepada Allah adalah kehidupan yang dipenuhi dengan amal ibadat, kehidupan yang menyatakan rasa ketaatan kepada perintah Allah sebagai seorang hamba yang beriman, kehidupan yang sentiasa mengilap perasaan hati sanubari dan jiwa nuraninya dari noda dan dosa dengan berzikir kepada Allah selalu. Dia tidak merasa takut melainkan hanya takut kepada Allah, Tuhan Yang Maha Perkasa dan dia tidak sekali-kali tunduk melainkan hanya kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Kehidupan yang dibawanya itu adalah untuk dipersembahkan kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Sekian, wassalam




PERTALIAN HIDUP



Sesungguhnya kewajiban seseorang hamba ialah mentaati perintah Allah sebagai batu asas yang paling utama dalam konsep kepercayaan, kemudian diikat pula dengan ketaatan lain terhadap perintah Rasulullah s.a.w. sebagai batu asas yang kedua dalam konsep kepercayaan hidup termasuk segala percakapan, perbuatan dan amalan hidup baginda s.a.w. menjadi nilai ketaatan. Kedua-dua perintah tersebut menjadi sumber asas dalam pengabdian hidup seseorang hamba yang ingin mendekatkan diri kepada Allah. Segala perintah Allah yang  terdapat di dalam Al Quran merupakan arahan-arahan yang praktikal dan wajib dilaksanakan menurut kaedah-kaedah yang digariskan dalam syari’at. Manakala arahan-arahan tersebut mempunyai kepelbagaian bidang kehidupan dan cabang rantingnya serta ruang-lingkupnya sekali yang mencakupi semua sekali aspek kehidupan manusia, sama ada di dunia dan di akhirat. Manakala As Sunnah s.a.w. merupakan kisah perjalanan hidup baginda s.a.w. yang menghuraikan secara lengkap isi kandungan Al Quran. Menjadi kelaziman, di antara ayat-ayat yang diturunkan adakalanya berkaitan dengan sesuatu peristiwa atau sesuatu kejadian yang berlaku, lalu ayat-ayat itu diturunkan untuk menjelaskan keadaan dan realiti yang berlaku. Adakalanya pula, ianya diturunkan untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan yang di hadapi oleh umat Islam ketika itu, maka apabila ayat-ayat tersebut diturunkan, secara tidak langsung dapat menyelesaikan dengan segera segala permasalahan yang timbul ketika itu.Kedua-dua perintah tersebut wajib diberi kepatuhan dan wajib pula dilaksanakan secara mutlak tanpa ada bantahan atau pilihan, sama ada ingin melaksanakan atau sebaliknya, sama ada ianya berbentuk suruhan ataupun berbentuk larangan.

Firman Allah Ta'ala:
يأيُّهاَ الَّذيَنَ أمَنُوا أطِيْعُوا الله وَرَسُولَهُ
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman: Taatlah kamu kepada perintah Allah dan taatlah kamu kepada perintah RasulNya” (Al Anfal: 20).

Disebut dalam ayat ini ketaatan kepada Allah dan ketaatan Rasul s.a.w. secara bersama atau beriringan. Maksud ketaatan di sini ialah ketaatan kepada perintah Allah dan perintah RasulNya s.a.w. Sebenarnya, ayat ini telah diperkuatkan dengan sepotong ayat yang lain, sebagaimana firman Allah Ta’ala;

قُلْ إِنْكُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللهَ فَاتَّبِعُوْنِىْ يُحْبِبْكُمُ اللهَ
Maksudnya: “ Katakanlah (wahai Muhammad)..! Sekiranya kamu kasih akan Allah, maka ikutlah aku nescaya Allah kasih kepada kamu ” (Ali ‘Imran: 31).

Seseorang hamba harus mengetahui, bahawa dia sekarang adalah seorang hamba Allah, bukan hamba manusia dan bukan pula seorang ‘kuli’ yang boleh cucuk hidung dan diarah sesuka hati oleh manusia. Dia bukan seorang hamba yang boleh menerima arahan sesuka hati dan boleh diarahkan oleh sesiapa sahaja. Dia perlu memahami, bahawa dia hanya menjadi hamba kepada Allah sahaja, dia hanya perlu taat kepada perintah Allah sahaja dan dia perlu berjuang di atas jalan Allah sahaja.  Nilai-nilai seseorang hamba di sisi Allah sangat jauh berbeza dengan nilai-nilai seseorang hamba di sisi manusia, kerana hamba di sisi Allah diarah melaksanakan ‘plan tindakan’ yang diatur-galur dalam syari’at secara berterusan dan wajib pula dipatuhi, kerana ianya merupakan kunci ‘ubudiyyah dalam temasya kehidupan. Manakala hamba di sisi manusia membawa pengertian bekerja untuk tuan, bukan suatu ketaatan yang mencapai darjat ketuhanan dan perintahnya pula tidak mengapa seandainya tidak dilaksanakan, namun ianya hanyalah suatu tanggungjawab yang perlu ditunaikan. Dia sekarang terikat dengan peraturan dan undang-undang Allah, bukan kepada peraturan dan undang-undang manusia, dia sekarang menjadi hamba Allah, bukan menjadi hamba manusia. Seandainya dia seorang hamba yang mempunyai hubungan yang rapat dengan ketuhanan Allah, dia tidak harus gentar menghadapi tekanan hidup yang datang menjelma, sekalipun tekanan itu datang bagaikan hujan yang turun mencurah-curah dari langit, namun dia menghadapi realiti hidup dengan perasaan hati tabah. Jiwanya tidak harus merasa gerimis dan jiwanya mestilah selalu optimis.

Sekian, wassalam




TANGGUNGJAWAB



Sesungguhnya nilai-nilai pengabdian telah memberi sumber kekuatan kepada hamba-hamba Allah yang  sentiasa bertaqwa kepadaNya untuk terus berjuang di atas prinsip kebenaran dan mereka cuba mengorak langkah memainkan peranan membina keutuhan Islam di atas ubun-ubunnya sendiri. Ini kerana, kekuatan Islam itu adalah terletak di atas hamba-hamba Allah oleh yang soleh yang sentiasa beramal dengan ajaran Islam yang mulia itu. Mereka menjadi hamba yang berperanan untuk memikul amanah ketuhanan Allah, amanah untuk meletakkan hakikat Islam dan manhaj hidupnya ke tempat asal sebagaimana yang diturunkan sejak dahulu, amanah untuk menjadi pelaksana kepada ajaran-ajaran Islam dan mempraktikkan segala rupa bentuk kewajiban mengikut garis panduannya. Mereka menjadi hamba yang bertanggungjawab untuk membawa bingkisan dakwah dan menyebarkan ke seluruh masyarakat agar mereka menjadi manusia yang mempunyai pegangan dan pendirian hidup. Tamadun kemanusiaan dapat direalisasikan dalam bentuk yang lebih spesifikasi apabila program dalam kehidupan itu mencakupi semua sekali aspek, yang meliputi kehidupan duniawi dan kehidupan ukhrawi.   Penyebaran dakwah ke dalam masyarakat ialah bertujuan untuk membina tamadun kehidupan yang baru  selaras dengan kehendak syari’at. Akan tetapi, pembinaan tamadun tersebut akan dapat dilaksanakan setelah mereka berjaya dibawa keluar dari kemelut kejahilan dan kehinaan. Faktor mereka menjadi jahil dan hina adalah kerana mereka menjadi hamba sesama manusia, mereka memperhambakan diri untuk taat dan patuh kepada perintah manusia, tidak kepada perintah Allah.

         Sebab itu, mereka semua perlu didakwah dan diberi penerangan tentang cara hidup Islam, hati mereka perlu dibasuh dan diberus serta digilap supaya hilang daki kekotorannya agar kelihatan bersinar dan terpancar cahaya kebenarannya. Apabila mereka faham dan mengerti tentang realiti Islam yang sebenar, maka dengan sendirinya mereka berjaya menghindarkan diri mereka dari dipukul arus kejahilan dan kehinaan. Maka, di saat itu akan terbina tamaddun kemanusiaan yang baru yang bebas dari suku sakat jahiliyah dan kepercayaan khurafat.

Allah Ta'ala telah berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلاَ تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ ۚ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam secara menyeluruh dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan, kerana syaitan adalah musuh kamu yang paling nyata” (Al Baqarah: 208).
        
         Penghayatan hidup secara Islam adalah menyeluruh dan Islam tidak sekali-kali menerima pelaksanaan dalam program hidupnya tidak menyeluruh atau secara separuh atau mengambil sebahagian sahaja dan kemudian dibuang sebahagian yang lain. Islam tidak boleh menerima sistem hidup seumpama itu, kerana telah dikatakan sejak awal lagi bahawa program hidup Islam adalah sesuai untuk nilai-nilai kemanusiaan itu sendiri dan boleh diamalkan oleh semua peringkat manusia.Dalam erti kata yang lain, mengambil sebahagian dari ajaran Islam yang difikirkan sesuai dan meninggalkan sebahagian yang lain kononnya tidak sesuai dengan keadaan semasa, semuanya itu adalah tipu daya syaitan laknat yang memperdayakan diri manusia di bawah telujuk hawa nafsu yang jijik. Jika demikian rupa, manusia jenis ini nanti akan menjadi mundur ke belakang dan mereka akan terjebak dalam kancah kehidupan jahiliyyah moden yang tidak mengamalkan cara hidup Islam secara menyeluruh. Apa yang sangat dibimbingi sekarang ialah budaya hidup yang ‘separuh masak’ ini akan menyebabkan ummat Islam dipermain-mainkan oleh musuh-musuh Islam yang durjana, kerana mereka yang bersikap ‘separuh masak’ ini sudah tentu tidak mempunyai pegangan hidup yang kuat dan tidak bertanggungjawab dalam urusan agama. Jika demikian, bagaimana Allah mahu menghantar petunjukNya kepada manusia yang seumpama ini, bagaimana pula Allah mahu mencurahkan kurniaan dan rahmatNya kepada manusia yang bersikap ‘separuh masak’ seperti ini, sedangkan terang-terang mereka bukan di kalangan manusia yang mempraktikkan ajaran Islam secara menyeluruh. Sebagaimana yang diketahui, bahawa syarat untuk mendapat petunjuk dan limpah kurnia dari Allah ialah melaksanakan program hidup Islam secara menyeluruh, iaitu secara semua sekali tanpa meninggalkan sedikitpun di belakang.

         Syarat itu juga merupakan syarat kesempurnaan iman seseorang hamba, kerana meninggalkan sebahagian dari ajaran agama bererti dia masih sangsi dan masih ada perasaan ragu-ragu tentang kebenaran ajaran Islam itu, di celah-celah dinding hati mereka masih melekat perasaan yang tidak ‘berapa yakin’ dengan baik buruk ajaran Islam, seolah-olah ajaran Islam itu memerlukan experiment untuk menentukan kesyumulannya. Ini adalah sikap sebahagian dari orang-orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah dan sikap ini adalah sikap yang tidak bertanggungjawab…!

         Sesungguhnya jiwa seseorang hamba yang beriman ialah jiwa ketaatan, jiwa yang bertanggungjawab terhadap amalan hidup Islam. Apabila jiwa ketaatan itu dapat ditanam dan dibentuk dalam diri seseorang hamba sehingga menjadi sebati dengan darah dagingnya, maka dia akan menjadi seorang hamba yang sentiasa mempunyai pertalian dengan Allah, benih-benih ketaatan yang ditanam itu akan terus hidup bercambah yang menghubungkan tali keimanan dan ketaqwaan dalam dirinya. Sesungguhnya sikap yang tidak bertanggungjawab akan merugikan Islam dan umat Islam itu sendiri, sikap seumpama itu juga merupakan lambang kemunduran umat Islam. Manakala sikap bertanggjawab akan menguntungkan Islam dan umat Islam, maka sikap seumpama inilah yang diperlukan oleh setiap umat Islam agar Islam dan umatnya menjadi kuat.

Allah Ta’ala berfirman:

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا
Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang soleh, sama ada lelaki atau perempuan sedangkan dia beriman, maka mereka akan masuk syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun” (An Nisa’: 124).

Sekian, wassalam




KEIMANAN



Sesungguhnya Islam yang diturunkan oleh Allah merupakan ad deen, iaitu suatu cara hidup yang berkesan untuk memandukan manusia ke jalan yang benar. Islam mengemukakan manhaj hidup dan programnya sendiri untuk mengubah pemikiran manusia supaya mereka dapat berfikir secara lebih rasional tentang hakikat sesuatu perkara dan mengajak mereka menghayati konsep penciptaan alam dengan keagungan dan kebesaran AIlah. Islam juga datang menjelma untuk membentuk akhlak dan tingkah laku manusia dengan mengemukakan nilai-nilai moral yang tinggi yang bersandarkan kepada keluhuran iman. Bererti, manusia yang berakhlak mulia dan mempunyai tingkah laku yang baik adalah manusia yang mempunyai keluhuran iman.Islam juga merupakan suatu pegangan hidup untuk diletakkan ke dalam hati sanubari dan jiwa nurani manusia. Bererti, Islam itu adalah suatu keyakinan dan satu kepercayaan untuk mengabdikan diri kepada Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Islam mengemukakan konsep pengabdian dalam kehidupan manusia adalah untuk mencetuskan nilai-nilai keimanan terhadap seseorang hamba tentang keagungan Allah dan kebesaranNya.Islam mempunyai falsafah hidupnya sendiri untuk membina tamadun kemanusiaan yang mencakupi pelbagai bidang dan lapangan hidup, sama ada di dunia dan di akhirat.Sebab itu, Islam membentuk manusia dan mengajar mereka dari sekecil-kecil perkara sehingga kepada sebesar-besar perkara, hatta kepada perkara-perkara sam’iyat, iaitu perkara-perkara yang abstrak juga diajar oleh Islam, seperti kehidupan di alam kubur, adanya nikmat kubur dan azab kubur, adanya kehidupan selepas mati, adanya titian sirath, adanya mizan atau timbangan amal, adanya syurga untuk orang-orang yang melakukan kebaikan, adanya pula neraka untuk orang-orang yang melakukan kejahatan dan lain-lain lagi.Semuanya sekali diajar oleh Islam dan segala apa jua perkara-perkara yang berkaitan dengan urusan kehidupan diajar oleh Islam, kerana Islam yang diturunkan itu adalah untuk menyelesaikan permasalahan hidup manusia dan kemudian membimbing mereka ke arah petunjuk.

         Di saat itu, ajaran Kristian dan ajaran Yahudi terpaku kelu dan tidak tahu mencari jalan penyelesaian untuk membawa keluar manusia dari kemelut kejahilan, kerana kedua-dua ajaran tersebut telah menyimpang dari jalan yang benar. Jika demikian, bagaimana kedua-dua ajaran tersebut dapat mengubah rentak hidup manusia dan bagaimana pula mereka ingin menarik keluar manusia dari gelombang kesesatan..? Apatah lagi fahaman-fahaman lain dan teori-teori yang direka-cipta oleh manusia durjana kononnya untuk mencari formula membentuk manusia mencari kedamaian hidup, sedang ajaran Kristian dan ajaran Yahudi yang sekian lama bertapak tidak mampu melakukan apa-apa perubahan kepada manusia untuk..!

      Apabila nilai-nilai pengabdian itu datang menjelma dalam kehidupan seseorang hamba, maka di sana akan berlaku perubahan dalam dirinya daripada menjadi seorang  hamba yang tidak mempunyai pendirian hidup kepada seorang hamba yang mempunyai etika dan pegangan hidup. Juga, dia mampu mencorak-warnakan kehidupannya sendiri dengan membawa ramuan yang diambil dari syari’at ILAHI. Maka sudah tentu, apabila nilai-nilai pengabdian itu menguasai ruang-lingkup kehidupannya, maka dia tetap menjadikan ketuhanan Allah sebagai batu asas atau akar tunjang dalam kehidupannya. Kisah pengabdian hidupnya kepada Allah akan diabadikan buat selama-lamanya dalam kehidupannya itu dan dia tidak mungkin mengubah atau merombak atau membuat apa-apa bentuk pindaan dalam kehidupannya itu, kisah pengabdian hidupnya tetap sebati menjadi darah daging dengan ketuhanan Allah. Dia tetap menjadi hamba Allah yang sentiasa bertaqwa kepadaNya, dia tetap menumpahkan taat setianya kepada perintah Allah, adapun perintah lain selain dari perintah Allah belum tentu harus ditaati sehingga terbukti ianya tidak bercanggah dengan peraturan syari’at. Dia selalu mengingati Allah setiap waktu, setiap pagi dan petang, siang dan malam. Ingatannya sentiasa tertumpu kepada Allah dan diiringi pula dengan doa memohon restu kepadaNya. Dia selalu beramal dan beribadat kepada Allah semata-mata untuk mencari keredhaanNya Allah. Perasaan hati sanubari dan jiwa nuraninya kelihatan tenang apabila merenung kebesaran dan keagungan Allah dalam realiti penciptaanNya, perasaan degup jantungnya sentiasa berdetak memikirkan betapa kebesaran dan keagungan Allah itu tiada ternilai dan tiada bandingannya dengan sesiapapun di atas dunia ini.

         Demikian, nilai-nilai pengabdian itu telah menguasai perasaan hatinya dan saluran nadinya untuk menyaksikan kehebatan Allah dalam penciptaanNya. Akhirnya, di sana dia dapat mencetuskan ketenangan dalam dirinya untuk membentuk panorama baru dalam kehidupan.

Firman Allah Ta’ala:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلاَ بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: " Orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka mengingati Allah, ketahuilah!Dengan mengingati akan Allah boleh memberi ketenangan kepada hati " (Ar Ra'd: 28).

Perasaan hati sanubari dan jiwa nurani seseorang hamba yang mempunyai ketenangan dalam dirinya kepada Allah terlalu indah untuk diperkatakan, dia mempunyai sikap hati dan kelebihannya sendiri terhadap ketuhanan Allah untuk menyaksikan kekuasaan dan keagunganNya. Jiwa raganya sentiasa berada dalam keadaan tenang dengan nilai-nilai keimanan dan ketaqwaan diri, dia sentiasa meletakkan realiti yang ada dan perjalanan hidupnya untuk kembali ke pangkuan Allah, kerana pergantungan hidupnya sekarang ialah kepada Allah semata-mata. Bahawa sikap hati seseorang hamba yang beriman sentiasa menyebut nama Allah, kerana itulah  sebenarnya tugas dan tanggungjawab sebagai seorang hamba. Sebab itu, sikap hatinya tidak dapat dipengaruhi oleh mana-mana sumber yang datang dari luar ajaran Islam, dia tidak dapat menerima-pakai sumber yang merosakkan pendirian hidup manusia, seperti fahaman-fahaman yang menyeleweng dari nilai-nilai kemanusiaan, teori-teori yang direka-cipta untuk menandingi cara hidup Islam, pandangan dan pendapat yang menghentam ajaran Islam secara membabi buta serta apa saja bentuk pengaruh yang menyimpang dari kebenaran.



Sekian, wassalam


PERNIAGAAN YANG MENGUNTUNGKAN



1. MUQADDIMAH
Mari kita mengambil faham tentang sepotong ayat yang dinyatakan oleh Allah di dalam Al Kitab:

Firman Allah Ta’ala:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang pedih? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta kamu berjuang di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu  mengetahui (hakikat yang sebenarnya)”  (As Saf: 10-11)
 2. ASBABUL NUZUL
Menurut Ibn Kathir di dalam kitabnya[1] bahawa ayat ini diturunkan dengan sebab pertanyaan Abdullah bin Salam dan para sahabat r.a. kepada Nabi s.a.w. tentangsuatu amalan yang sangat disukai oleh Allah untuk mereka amalkan, lalu Allahmenurunkan ayat ini. Diriwayatkan dari Ibn Jarir yang diambil Abu Salih, dari Ibn Abi Hatim, dari Ali dan dari Ibn Abbas r.a. bahawa para sahabat ingin sekali mengetahui apakah amalan-amalan yang paling dicintai oleh Allah dan lebih afdal, lalu turun ayat ini[2]. Di kalangan para sahabat ada yang merungut: “ Andaikata kami mengetahui amalan yang dikasihi oleh Allah nescaya kami akan beramal dengannya, yang merupakan sebuah perniagaan yang diredhai Allah dan boleh memasukkan kami ke dalam syurga dan menghindarkan dari neraka, lalu Allah menurunkan ayat menyatakan perniagaan tersebut[3].

3. HURAIAN AYAT
Al Quran telah mengemukakan syarat-syarat perlu yang dikehendali dalam pelaburan ini dan peluang ini hanya diberi kepada warga muslim sahaja. Adapun warga lain yang bukan dari warga muslim tidak sekali-kali diterima dalam pelaburan ini dan inilah keistimewaannya. Oleh sebab itu, setiap warga muslim mestilah cuba merebut peluang ini agar dia memperolehi keuntungan yang berlipat kali ganda. Al Quran hanya menggariskan dua jenis perniagaan sahaja untuk dilaburkan, di mana perolehan pendapatannya amat memberangsangkan dan berlipat kali ganda, tiada risiko dan tiada kerugian yang datang menimpa. Bahkan pelaburan ini akan memberi jaminan kepada para pelabur daripada kerugian, kehilangan modal pelaburan dan boleh menghindarkan diri mereka dari apa jua bahaya yang akan menimpa. Para pelabur tidak harus khuatir dan risau tentang risiko kehilangan modal pelaburannya atau tiada keuntungan yang dijanjikan atau menanggung risiko pulangan modal yang tidak seberapa atau dividen yang tidak dibayar. Sesungguhnya para pelabur telah diberi jaminan Allah sendiri bahawa mereka yang melabur dalam saham ini tidak akan sekali-kali rugi dan akan mendapat kedudukan yang istimewa di sisiNya. Kedua-dua pelaburan yang dimaksudkan itu ialah beriman kepada Allah dan RasulNya serta berjihad di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga.

4.  PENGGUNAAN KALIMAH AMTHAL
Di dalam ayat di atas, perkataan yang menjadi perbahasan amthal atau perbandingan ialah perkataan At Tijarah (تِجَارَةٍ) yang diertikan sebagai perniagaan. Di dalam uslub penggunaan biasa, lazimnya perkataan tijarah ini dikaitkan dengan pelaburan atau perdagangan atau perusahaan yang memerlukan wang ringgit untuk dijadikan modal pusingan. Di samping itu, menjadi kebiasaan dalam dunia perniagaan bahawa di sana adanya untung rugi terhadap sesuatu barangan yang diniagakan. Akan tetapi, di dalam ayat di atas Allah telah menggunakan perkataan tijarah (تِجَارَةٍ) sebagai nilai amthal untuk membuat contoh perbandingan dengan mengemukakan uslub bahasa yang penuh gaya dan menarik. Ianya menggambarkan kehebatan penggunaan kalimah Al Quran yang sungguh tepat dan tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak, sama ada mereka itu terdiri di kalangan pakar-pakar bahasa atau para sasterawan atau sesiapa saja. Mereka semua akur dengan kehebatan uslub dan gaya bahasa yang diguna-pakai oleh Al Quran. Demikianlah mukjizat Al Quran yang ‘terpelanting jauh’ dari apa jua bentuk kesalahan atau kesilapan, baik dari segi tatabahasanya, maknanya, isi kandungannya, fakta sejarahnyadan lain-lain. Oleh itu, maksud sebenar yang dikehendaki dalam ayat di atas tadi bukannya perniagaan yang dikaitkan dengan pembelian atau penjualan dalam sistem ekonomi, tetapi yang dimaksudkan dengan tijarah (تِجَارَةٍdi sini ialah keimanan[4] yang ada di hati sanubari dan jiwa nurani seseorang serta berjihad di jalan Allah. Seolah-olah persoalan yang dikemukakan oleh Allah itu ditakwilkan seperti: (هل تؤمنون بالله وتجاهدون يغفر لكم) Maksudnya: “ Adakah kamu beriman dengan Allah dan kamu berjihad Allah akan mengampunkan dosa kamu..?” Ataupun persoalan itu ditakwilkan seperti (هل تتجرون بالإيمان والجهاد يغفرلكم) Maksudnya: “ Adakah perniagaan dengan iman dan jihad itu akan diampunkan Allah terhadap dosa-dosa kamu[5]..?”

Keimanan dan jihad itu digambarkan sebagai suatu perniagaan sangat menguntungkan dan dapat mengeluarkan manusia dari terjelumus ke dalam azab yang pedih, sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam sepotong ayat yang lain:

إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “ Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga ”. (At Taubat: 111)
            Andaikata perkataan tijarah (تِجَارَةٍdi dalam ayat di atas tadi dimaksudkan dengan perniagaan dalam sistem ekonomi, tetapi mengapa Allah menyatakan pada ayat seterusnya dengan firmanNya :(تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ) “ Perniagaan tersebut menyelamatkan kamu dari azab yang pedih…” Apa yang kita ketahui, sesuatu perniagaan itu akan membawa dua perkara, iaitu keuntungan dan kerugian. Adalah sangat mustahil bahawa adanya di sana suatu jenisperniagaan yang menjanjikan kepada para pelabur dapat menyelamat mereka dari azab yang pedih pada hari akhirat nanti. Ini menunjukkan bahawa apa yang dikehendaki dengan tijarah (تِجَارَةٍdi sini ialah keimanan, iaitu tasdiq dengan hati ikrar dengan lidah[6].

            Perniagaan merupakan suatu pekerjaan yang sangat disukai oleh orang-orang arab dan sebahagian besar penduduk dan masyarakat arab ketika itu bekerja sebagai peniaga dan pedagang di sekitar semenanjung Tanah Arab. Apabila di kalangan sahabat ada yang bertanya kepada Rasulullah s.a.w. tentang suatu perniagaan yang sangat disukai oleh Allah, laluAllah menurunkan ayat ini sebagai jawaban kepada persoalan tersebut[7].

5. TAFSIRAN  AYAT
Allah telah mengemukakan uslub istifham di dalam ayat ini yang berupa pertanyaan dengan membuat amthal dan contoh perbandingan dengan menyebut perkataan (تِجَارَةٍ) iaitu perniagaan yang merupakan suatu pelaburan untuk mendapat keuntungan. Lazimnya, sesuatu perniagaan itu ada untung dan ada rugi. Tetapi perniagaan yang dikemukakan oleh Allah ini sentiasa memperolehi keuntungan yang berlipat kali ganda dan yang hebatnya ianya dapat menyelamatkan manusia dari azab siksa yang pedih di hari akhirat kelak. Imam Al Baghawi dalam tafsirnya menyatakan[8]bahawa Allah Ta’ala telah menjelaskan perniagaan yang dimaksudkan itu dengan mengemukakan ayatNya yang berikut:

تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنْفُسِكُمْ
Maksudnya: “ Kamu beriman dengan dan RasulNya dan kemudian kamu berjihad di dalam Allah dengan harta benda dan jiwa raga kamu”

Imam At Tabari r.a. pula menyatakan apabila Allah mengemukakan suatu persoalantentangsuatuperniagaan yang dapat menyelamatkan manusia dari azab yang pedih, maka pertanyaan ini agak mengelirukan dan sukar diterima dengan akal, kerana lazimnya sesuatu perniagaan itu adalah usaha untuk mendapat keuntungan daripada pelaburan yang dikeluarkan. Akan tetapi, mengapa dalam ayat ini Allah mengaitkan hubungan perniagaan denganazab yang pedih dan di samping itu mereka yang membuat pelaburan dalam perniagaan yang dikemukakan oleh Allah itu bukan sahaja menguntungan, bahkan ianya dapat mengeluarkan manusia dari azab tersebut di hari akhirat nanti. Persoalan ini menarik perhatian manusia dan mereka ingin tahu apakah bentuk perniagaan tersebut dan bagaimana pula hendak mengeluarkan saham untuk menanam modal pelaburan dalam perniagaan tersebut…? Apabila Allah menjelaskan bahawa perniagaan tersebut ialah beriman kepada Allah dan RasulNya s.a.w. serta berjihad di jalan Allah[9], makafahamlah mereka bahawa nilai-nilai keimanan yang luhur itu merupakan saham yang sangat besar untuk pelaburan di hari akhirat kelak.Imam Al Alusi dalam kitabnya Ruh Al Ma’ani telah menjelaskan bahawa apabila Allah mengemukakan persoalan:

هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
Maksudnya: “ Mahukah Aku bawakan kepada kamu tentang suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab yang pedih..?”

Ini merupakan persoalan ringkas dari Allah yang dikemukakan kepada orang-orang yang beriman dan persoalan sebegini merupakan uslub biasa dalam Al Quran..!

Persoalan ini seolah-olah menimbulkansuatu bentuk pertanyaan:  “Apakah bentuk perniagaan tersebut dan sila kemukakan kepada kami[10]…” Maka, dengan penjelasan Allah dalam ayat selanjutnya telah menjawab keributan yang timbul dalam pemikiran orang-orang yang beriman, bahawa perniagaan tersebut bukan perniagaan yang berhubung-kait dengan ekonomi, tetapi perniagaan yang dikehendaki di sini ialah perniagaan yang berhubung-kait dengan keimanan.Sesungguhnya uslub yang diguna pakai dalam ayat ini sungguh indah dan amat menarik sekali, sighah ta’bir (صيغة التعبير)yang dikemukakan oleh Al Quran dalam ayat ini juga mengandungi fasal dan wasal (ikatan dan pecahan), mempunyai istifham dan jawaban, mempunyai awalan dan akhiran. Sighah ini juga mengandungi maksud tersendiri kepada mesej yang hendak disampaikan ke dalam manusia hati melalui pelbagai wasilah, di mana ianya memberi kesan yang mendalam kepada perspektif yang digambarkan. Seruan itu telah dimulakan dengan nama keimanan, iaitu (أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا):  “Wahai orang-orang yang beriman..!” Yang merupakan uslub istifham yang diwahyukan, maka di sana Allah Ta’ala telah melanjutkan firmanNya dengan mengemukakan persoalan berikut: (هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ) iaitu: “Mahukah Aku bawakan kepada kamu tentang suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab yang pedih..? Di sana pula timbul persoalan lain yang ingin diketahui oleh orang-orang yang beriman itu, iaitu: “ Apakah bentuk perniagaan tersebut..?” Maka ayat ini seolah-olah berhenti di sini sejenak, memisahkan dua jumlah susunan ayat untuk menunggu jawaban seterusnya. Kemudian sesudah itu Al Quran memperjelaskan bentuk dan jenis perniagaan tersebut dalam ayat seterusnya yang merungkaikan segala keserabutan untuk mendekatkan perasaan hati dan pendengaran[11] dan sekaligus memberi jawaban yang sungguh meyakinkan.

            Said Hawa dalam kitabnya Al Asas Fi At Tafsir[12] telah membuat perbandingan yang amat ketara berhubung-kait ayat ini (هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ) dengan ayat di awal Surah Al Baqarah yang membicarakan tentang budaya hidup orang munafiq.

Firman Allah Ta’ala:

أُولَٰئِكَ الَّذِينَ اشْتَرَوُا الضَّلاَلَةَ بِالْهُدَىٰ فَمَا رَبِحَتْ تِجَارَتُهُمْ وَمَا كَانُوا مُهْتَدِينَ
Maksudnya: “ Mereka itulah orang-orang yang membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk; maka tiadalah beruntung perniagaan mereka dan tidak pula mereka beroleh petunjuk hidayat ” (Al Baqarah: 16).

         Orang-orang yang beriman berniaga di atas nama Allah dan mereka membuat pelaburan untuk mendapatkan saham di hari akhirat kelak. Andaikata mereka tetap istiqomah dengan asas-asas perniagaan mereka dan mengikut garis panduan yang betul mengikut ajaran agama, mereka tidak akan rugi buat selama-lama bahkan sentiasa mendapat keuntungan yang sangat lumayan. Bukan itu saja, perniagaan mereka itu akan menyelamatkan diri mereka dari azab neraka yang pedih pada hari akhirat nanti. Modal perniagaan yang perlu dikeluarkan hanya dua perkara sahaja, iaitu: Pertama beriman kepada Allah dan RasulNya, manakala yang kedua pula berjuang di jalan Allah dengan harta benda dan jiwa raga.

            Tetapi, lain pula ceritanya dengan orang munafiq, mereka membeli kesesatan dengan meninggalkan petunjuk dari Allah, maka sudah tentu perniagaan mereka tidak sama dengan perniagaan yang dijalankan oleh orang-orang yang beriman, perniagaan mereka bukan sahaja tidak memperolehi apa-apa keuntungan, bahkan bertambah banyak kerugian, di samping mereka akan mendapat azab yang sangat pedih di hari akhirat nanti.

Al Quran telah mengemukakan syarat-syarat perlu yang dikehendaki dalam pelaburan ini dan peluang ini hanya diberi kepada warga muslim sahaja. Adapun warga lain yang bukan dari warga muslim tidak sekali-kali diterima dalam pelaburan ini dan inilah keistimewaannya. Oleh sebab itu, setiap warga muslim mestilah cuba merebut peluang ini agar dia memperolehi keuntungan yang berlipat kali ganda. Al Quran hanya menggariskan dua jenis perniagaan sahaja untuk dilaburkan, di mana perolehan pendapatannya amat memberangsangkan dan berlipat kali ganda, tiada risiko dan tiada kerugian yang datang menimpa. Bahkan pelaburan ini akan memberi jaminan kepada para pelabur daripada kerugian, kehilangan modal pelaburan dan boleh menghindarkan diri mereka dari apa jua bahaya yang akan menimpa. Para pelabur tidak harus khuatir dan risau tentang risiko kehilangan modal pelaburannya atau tiada keuntungan yang dijanjikan atau menanggung risiko pulangan modal yang tidak seberapa atau dividen yang tidak dibayar. Sesungguhnya para pelabur telah diberi jaminan Allah sendiri bahawa mereka yang melabur dalam saham ini tidak akan sekali-kali rugi dan akan mendapat kedudukan yang istimewa di sisiNya. Pelaburan pertama ialah beriman kepada Allah dan RasulNya s.a.w. manakala pelaburan yang kedua pula ialah berjuang di jalanNya. Kedua-dua pelaburan ini merupakan asas atau akar tunjang ke arah membentuk pengabdian diri untuk dilaburkan di pasaran dunia dan di pasaran akhirat. Kedua-dua pelaburan ini juga merupakan nadi penggerak untuk mencetuskan nilai-nilai pelaburan yang akan memonopoli penjualan saham-saham di seluruh dunia untuk dibawa ke hari akhirat. Kedua-dua pelaburan ini tidak memerlukan modal yang banyak dan tidak memerlukan usaha yang bertungkus-lumus, tidak memerlukan tenaga kerja ramai jumlahnya dan tidak memerlukan hutang-piutang, tidak memerlukan pengiklanan di ruangan akhbar atau media massa dan tidak pula memerlukan pengiktirafan dari sesiapapun, tidak memerlukan ruangan pejabat dan tidak memerlukan persyarikatan dengan mana-mana pihak sekiranya untuk menguasai saham pelaburan ini, tidak memerlukan cagaran dan nilai modal dalam bentuk tertentu, memadai dengan keikhlasan dan usaha yang berterusan serta istiqomah di atas nama Allah.

6.  PELABURAN DAN HUBUNGAN DENGAN DAKWAH ISLAMIYYAH
Seseorang muslim yang berjaya dalam kehidupannya ialah muslim yang bertanggungjawab dalam menguruskan nilai-nilai agamanya, muslim yang mempunyai peranan dalam menguruskan hal ehwal agamanya dan mampu membawa perubahan kepada dirinya, keluarganya, kaum kerabatnya, teman seiring dan masyarakat setempat. Dia mampu bangkit dan bergerak membina keupayaan diri di atas kesedarannya terhadap ajaran agamanya dan dia tahu bahawa inilah peluang untuk dia mengorak langkah membina masa depan yang gemilang, inilah masanya untuk dia menilai hakikat hidup yang dilaluinya selama ini agar nilai-nilai itu menjadi realiti dan di sinilah bermulanya aksi kehidupan untuk dia bersiap sedia menghadapi hari esok dan hari-hari seterusnya. Kerana, kehidupan itu sentiasa bergerak dan berubah-ubah dari masa ke semasa, kehidupan itu tidak hanya duduk diam di bawah satu bumbung, bahkan kehidupan itu sentiasa berganjak dari satu tempat ke satu tempat yang lain, kehidupan itu sentiasa naik turun bagaikan roda yang sentiasa berpusing dan berkisar; adakala berada di atas dan adakalanya berada di bawah. Kehidupan itu berjalan mengikut lumrah dan adakalanya kehidupan itu berjalan mengikut tabiat semulajadi. Kita perlu merancang dalam kehidupan kita dan kita perlu melakarkan apa yang hendak kita lakukan setiap hari, kita perlu melukiskan gambaran dalam program kehidupan untuk paparan hidup kita dan kita perlu membuat jadual kehidupan agar kehidupan kita itu teratur dan tersusun. Maka di sinilah kita perlu membuat pelaburan jangka pendek dan pelaburan jangka panjang dalam kehidupan kita untuk mencari keredhaan Allah.

6.1.   Pelaburan Di Atas Nama Allah
Pelaburan ini hanya terbuka kepada orang-orang Islam sahaja, adapun orang-orang yang tidak beriman dan tidak percaya kepada keesaan Allah tidak sekali-kali diterima dalam pelabuan ini. Pelaburan mereka tidak sah dan tidak diterima. Seandainya dia melabur juga, dia tidak sekali-kali akan mendapat ganjaran atau dividen di hari akhirat nanti, pelaburan mereka adalah kosong dan tidak bererti, kerana syarat utama pelaburan ini ialah seorang Islam yang beriman. Para pelabur mesti membuat pelaburan di atas nama ketuhanan Allah, Tuhan Yang Satu dan Tuhan Yang Maha Esa. Ini merupakan syarat asas yang menjadi akar tunjang untuk mendapat keuntungan dalam pelaburan ini.

Firman Allah Ta’ala:

الَّذِينَ آمَنُوا وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُمْ بِذِكْرِ اللَّهِ ۗ أَلاَ بِذِكْرِ اللَّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ
Maksudnya: " Orang-orang yang beriman dan tenang hati mereka mengingati Allah, ketahuilah! Dengan mengingati Allah memberi ketenangan kepada hati " (Ar Ra'd: 28).

Gambaran hidup para pelabur yang mengikat pertalian hidup dengan ketuhanan Allah sudah pasti mendapat pengiktirafan yang mulia di sisiNya, walaupun kehidupan mereka cuma sederhana dan adakalanya pula kehidupan di kalangan mereka tidak keruan akibat dihimpit oleh kemiskinan atau kefakiran. Namun demikian, keimanan mereka tetap kaya-raya dan unggul, darjat keimanan mereka tetap bertambah dari masa ke semasa dan mereka tetap dengan pelaburan hidup mereka tanpa menghiraukan suara-suara jijik yang cuba melemparkan fitnah secara membabi buta. Mereka tetap tabah menghadapi ujian yang datang menjelma dan mereka tetap bersabar di dalam menghadapi kerenah manusia, kerana pelaburan hidup mereka adalah untuk Allah dan untuk meninggikan agama Allah.

Demikian juga, apa yang mereka lakukan ini adalah sebahagian daripada aksi perjuangan untuk dibelanjakan kepada saudara-saudara mereka yang berada di dalam satu angkatan. Lantas dengan itu, untuk apa mereka harus bertolak ansur dengan pemuka-pemuka jahiliyah yang cuba menggagalkan pelaburan hidup mereka dan untuk apa mereka harus melayan fitnah yang dilemparkan bagi menyingkirkan mereka daripada terus melabur..?Apa jua bentuk penentangan dari ‘makhluk perosak’ tidak sedikitpun menjejaskan nilai-nilai pelaburan mereka di jalan Allah. Hati sanubari dan jiwa nurani mereka tidak akan tersingkir dan tenang mengingati Allah.

Firman Allah Ta'ala:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ إِذَا ذُكِرَ اللَّهُ وَجِلَتْ قُلُوبُهُمْ وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَىٰ رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ
Maksudnya: " Sesungguhnya orang-orang mukmin apabila disebut nama Allah gementar hati mereka dan apabila dibaca ke atas mereka ayat-ayat Allah bertambah pula keimanan dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakal " (Al Anfal:2).

            Mereka tidak merasa khuatir dan bimbang dengan saham pelaburan yang mereka keluarkan, kerana mereka adalah manusia yang kuat bertawakal kepada Allah. Mereka menyerahkan segala usaha yang mereka lakukan itu semata-mata hanya kepada Allah. Hubungan rohani dan ikatan naluri mereka terhadap Allah sangat erat dan tidak mungkin dapat diputus oleh sesiapapun. Perasaan rabubiyyah dan uluhiyyah mereka tetap utuh dan menjadi sebati dengan darah daging mereka. Mereka tidak takut melainkan hanya kepada Allah semata-mata, mereka tidak gentar dalam menghadapi ujian hidup melainkan hanya kepada Allah sahaja, jiwa raga mereka tidak sedikitpun merasa tertekan ketika melawan arus jahiliyah yang cuba mengubah pendirian hidup mereka. Sesungguhnya jiwa orang-orang yang beriman merasa gementar kerana takutkan Allah, takut kepada kekuatan dan kekuasaan Allah, takut kepada azab dan siksaan Allah yang datang menimpa. Perasaan hati mereka menjadi gementar dan takut kerana mereka menyerahkan bulat-bulat segala kehidupan itu ke pangkuan Allah. Sesungguhnya niat itu akan membezakan warna kehidupan seseorang manusia dengan seseorang yang lain, niat itu akan membezakan corak dan rentak kehidupan seseorang manusia dengan seseorang yang lain, niat itu akan membezakan idea dan pemikiran seseorang manusia dengan seseorang yang lain untuk diterjemahkan dalam pasaran hidup, niat itu juga akan membentuk sesuatu usaha atau sesuatu pekerjaan untuk menentukan sama ada berjaya atau sebaliknya, niat itu juga akan membezakan sesuatu amalan yang berbentuk ibadah dan amalan yang berbentuk adat kebiasaan, niat itu juga yang akan menentukan nilai untung rugi perlaburan manusia manusia di dunia untuk diaudit dan dibuat kira-kira di hari akhirat kelak. Walaupun banyak sekali saham dilaburkan, namun seandainya niat tidak ikhlas dan jujur, perolehan pendapatannya pasti akan rugi dan dia tidak akan mendapat apa-apa bentuk dividen di akhirat kelak. Dengan sebab itu, setiap hamba yang beriman kepada Allah mesti menjaga dan memelihara hati mereka, kerana di dalam hati itu tersimpannya niat manusia yang merancang untuk melakukan sesuatu perkara, sebagaimana dijelaskan di dalam sepotong hadith.

Sabda Rasulullah s.a.w.
إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: " Sesungguhnya segala amalan itu disertakan dengan niat dan bagi tiap-tiap seseorang itu apa yang ia niatkan " (Sepakat riwayat).

Ketahuilah, bahawa niat itu merupakan anak kunci untuk mencetuskan sesuatu program kehidupan dan membuat sesuatu perancangan tentang pelaksanaan projek yang hendak diusahakan secara praktikal. Oleh kerana niat tersebut berada di dalam hati, maka perasaan hati perlu dijaga dengan rapi dan digilap selalu dari debu-debu kekotoran. Perasaan hati itu akan mengawal segala maksud niat yang terkandung di dalamnya, sama ada untuk terus melaksanakan niat yang dirancang itu ataupun bertindak sebaliknya.

Benarlah sabda Rasulullah s.a.w.

أَلاَ وَإِنَّ فِى اْلجَسَدِ مُضْغَةٌ إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وُإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ اْلجَسَدُ كُلُّهُ أَلاَ وَهِىَ اْلقَلْب
Maksudnya: " Ingatlah! Bahawa di dalam tubuh badan manusia terdapat segumpal darah, apabila ia berada dalam keadaan baik, maka seluruh tubuh badan menjadi baik, tetapi apabila ia berada dalam keadaan rosak maka rosaklah seluruh tubuh badan, darah yang dimaksudkan ialah hati " (Riwayat Bukhari).

Pelaburan saham tidak akan berjaya dan tidak akan mencapai keuntungan seandainya niat yang ikhlas tidak dapat dibina di dalam hati sanubari, pelaburan tersebut tidak akan menguntungkan dan tidak akan membuahkan apa-apa bentuk dividen  seandainya niat yang benar-benar tulus ikhlas tidak dapat dibina dengan baik di sudut hati, pelaburan tersebut adalah pelaburan yang sia-sia.

6.2. Modal Yang Cukup
Sudah tentu, untuk membuat pelaburan di jalan Allah, di sana kita memerlukan modal yang cukup agar pelaburan yang dikeluarkan itu akan mendapat keuntungan yang lebih dan pulangan yang berlipat kali ganda. Pelaburan di jalan Allah tidak begitu sukar sebagaimana yang disangkakan dan pelaburan tersebut tidak sama dengan pelaburan dalam sistem ekonomi yang memerlukan sokongan modal dari sudut material semata-mata. Tanpa wang dan cagaran modal, pelaburan tersebut tidak akan dapat diusahakan, kerana asas pelaburan tersebut bergantung kepada pusingan modal yang berterusan. Tetapi, pelaburan di jalan Allah adalah pelaburan yang meliputi semua aspek dan meliputi semua perkara serta setiap urusan, adakalanya modal yang diperlukan itu berupa harta benda dan wang ringgit, adakalanya modal tersebut dikeluarkan berupa barangan dan benda-benda tertentu, adakalanya modal tersebut juga hanya dengan memerah keringat dan tenaga atau dengan usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh, adakalanya berkaitan dengan amalan-amalan kewajiban atau amalan-amalan sunat yang digalakkan, adakalanya juga dengan aksi perjuangan dan pengorbanan.Apa yang penting, modal pelaburan tersebut dikaitkan dengan modal insan yang menjurus kepada sistem pengurusan yang bersifat profesional dan produktif serta menjuruskan kepada indeks keuntungan dari sudut fizikal dan spiritual.

Firman Allah Ta’ala:

وَالَّذِينَ إِذَا أَنْفَقُوا لَمْ يُسْرِفُوا وَلَمْ يَقْتُرُوا وَكَانَ بَيْنَ ذَٰلِكَ قَوَامًا
Maksudnya: "  Dan orang-orang yang apabila mereka memberi nafkah tidak boros dan tidak sedikitpun merasa kedekut, iaitu pertengahan antara kedua sifat tersebut " (Al Furqan: 67).

6.3. Sikap Berani Mencuba
Seseorang pelabur yang ingin melabur di jalan Allah mesti bertindak bijak di dalam mengeluarkan modal pelaburannya dan dia juga mesti berani membuat pertaruhan untuk menghadapi realiti atau ilusi, untuk menghadapi hakiki atau fantasi, dia mesti bijak membuat penilaian di antara kebenaran dengan kepalsuan, di antara keuntungan dengan kerugian, dia mesti berani berdaya saing dalam pasaran global tanpa batas sempadan dan tidak takut menghadapi apa jua kemungkinan yang datang menjelma. Seseorang pelabur yang ingin mengeluarkan modalnya di jalan Allah tidak harus takut kepada dakyah-dakyah ekonomi yang cuba mengalih pandangan ke arah suatu aspek yang lain agar tidak melaburkan modalnya di jalan Allah, dia tidak harus gentar menghadapi persaingan dalam pasaran, sekalipun keuntungan yang akan diperolehi nanti bukan dalam bentuk wang ringgit atau harta benda, tetapi dalam bentuk ganjaran pahala.

Firman Allah Ta'ala:

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ ۚ
Maksudnya: " Sekiranya perjuangan itu memberi keuntungan yang dekat dan pelayaran yang hampir tamat, nescaya ramai yang datang mengikut kamu, tetapi apa boleh buat, perjalanan mereka itu masih lagi jauh " (At Taubah: 42).

6.4. Usaha Yang Berterusan
Sesungguhnya sistem ekonomi yang berjaya dan berkesan adalah berasaskan kepada kekuatan para pelabur yang bijak membuat perancangan masa depan untuk pelaburannya. Sistem ekonomi yang berdaya saing dan pro aktif dalam pasaran ialah sistem yang berjaya mengurangkan kadar perbelanjaan dan meningkatkan kadar pengeluaran. Maka dengan sebab itu, setiap para pelabur yang cuba mengorak langkah untuk meningkatkan saham dalam pelaburannya mestilah bijak membuat analisa semasa, kerana kos permintaan terhadap sesuatu barangan akan berubah dari masa ke semasa mengikut harga dalam pasaran. Pengeluaran sesuatu barangan terhadap sesuatu permintaan mesti mengikut kuantiti pasaran semasa, kerana persaingan terhadap sesuatu barangan dalam pasaran global akan menyebabkan kualitinya jatuh menjunam. Permintaan yang bertubi-tubi terhadap sesuatu barangan jika tidak dikawal akan menyebabkan nilaian barangan tersebut akan menjadi murah. Secara tidak langsung, barangan tersebut akan mengalami kejatuhan harga dan perkara inilah yang amat ditakuti oleh para pelabur yang boleh menyebabkan kerugian dalam sahamnya. Bagi mencapai maksud tersebut, kawalan semasa terhadap kuantiti pengeluaran sesuatu barang adalah perlu untuk menjamin kualiti dalam pasaran, sekalipun persaingan yang sengit di antara para pelabur boleh menggugatkan nilaian tersebut.

         Tetapi, dengan adanya kawalan harga tersebut diharap akan dapat mengurangkan spekulasi harga yang berterusan terhadap nilaian barangan yang diniagakan, kerana semua para pelabur mahukan keuntungan yang lebih. Persoalannya, untuk menjurus ke arah itu dengan sokongan nilaian untung yang bertambah, maka usaha yang gigih dan berterusan perlu dipertingkatkan sepanjang masa agar peluang pelaburan dalam pasaran semasa boleh dipelbagaikan dan tidak hanya terhad kepada satu barangan saja. Sebabnya, pasaran adalah tempat yang terbaik untuk menjual produk, di mana para pembeli akan memilih produk-produk yang diperlukan untuk kegunaan hari. Seandainya produk-produk yang dipasarkan itu mempunyai mutu yang baik dan digemari oleh para pengguna, maka peluang untuk mencapai keuntungan adalah cerah, sekalipun wujudnya spekulasi murahan dalam pasaran tersebut. Namun ianya tidak akan menjejaskan para pelabur terhadap pegangan saham mereka, kerana kepelbagaian produk-produk yang dipasarkan itu masih mampu menepis spekulasi murahan dan masih lagi berjaya menguasai keuntungan untuk mempengaruhi para pengguna. Spekulasi murahan dari ahli jahiliyyah dan ahli bid’ah tidak akan menjejaskan para pelabur untuk melabur di jalan Allah. Usaha yang gigih dan telus merupakan mata rantai yang berterusan untuk memikul kejayaan. Para pelabur yang berpegang teguh dengan ikatan keimanan terhadap ketuhanan Allah tidak harus merasa gentar dengan spekulasi murahan itu yang merupakan dakyah-dakyah untuk menguji mutu keimanan para pelabur. Anggaplah spekulasi yang ditaburkan itu sebagai modal lapuk dan lusuh yang cuba menggugatkan dan mengurangkan nilai-nilai modal dalam pasaran semasa. Sebab itu, kejayaan para pelabur di sisi Allah untuk mendapatkan keuntungan di dunia dan di akhirat ialah melalui usaha yang gigih dan berterusan.

Benarlah firman Allah Ta’ala:

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُونَ نَقِيرًا
Maksudnya: “ Sesiapa yang beramal dengan amalan yang soleh, sama ada lelaki atau wanita sedangkan dia beriman, maka mereka itu akan masuk syurga dan mereka tidak dizalimi sedikitpun “ (An Nisa’: 124).

         Cuba kita perhatikan di dalam ayat ini tentang ungkapan ‘amalan yang soleh’ yang menunjukkan kepada setiap perkara yang dilakukan kerana Allah atau di atas nama Allah atau untuk meninggikan agama Allah merupakan amalan yang soleh dan secara tidak langsung, amalan yang dilakukan untuk membuka peluang bagi menanam modal pelaburan dan perniagaan di jalan Allah merupakan amalan yang soleh. Di dalam sepotong hadith, yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

يُتْبَعُ اْلمَيِّتُ ثَلاَثَةٌ فَيَرْجِعُ اثْنَانِ وَيَبْقَى وَاحِدٌ يَتْبَعُهُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَعَمَلُهُ فَيَرْجِعُ أَهْلُهُ وَمَالُهُ وَيَبْقَى عَمَلُهُ


Maksudnya: “ Akan mengikut mayat si mati tiga perkara, dua akan pergi dan yang tinggal hanya satu, yang mengikut mayat si mati ialah keluarganya, hartanya dan amalannya, keluarga dan hartanya akan pergi meninggalkannya, maka yang kekal ialah amalannya saja ”.

Amalan tersebut merupakan suatu usaha yang berterusan dan berkekalan, bahawa nilai-nilai pelaburan saham yang diusahakan selama ini akan membuahkan hasil yang berpanjangan, sekalipun jasad dan tubuh badan mereka telah luput dari pandangan mata manusia, namun saham pelaburan itu tidak akan luput dan akan dibawa ke negeri akhirat untung dihitung berapa jumlah dividen yang mereka akan perolehi.

6.5.Semangat Ingin Berjaya
Demikian, bahawa kejayaan dalam sesuatu perkara adalah dihasilkan melalui usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh, diikuti dengan azam yang kuat dan mendalam serta semangat yang berkobar-kobar untuk terus berjaya. Kejayaan tidak akan datang menjelma dengan sendiri dalam kehidupan tanpa usaha dan ikhtiar, kejayaan tidak akan memilih waktu dan ketika untuk dinobatkan sebagai seorang yang berjaya dan kejayaan itu tidak sekali-kali memilih warna kulit atau budaya bangsa atau tinggi rendah kedudukan seseorang itu dalam masyarakat untuk dimartabatkan sebagai orang yang berjaya, kerana kejayaan itu muncul apabila adanya daya usaha untuk merubah corak hidup yang terpinggir untuk terus dipertingkatkan dari masa ke semasa. Kejayaan ada di mana-mana dan pepatah ada menyatakan: Sesiapa yang berusaha pasti akan berjaya.Sesungguhnya sistem pengurusan hidup seharian adalah berkaitan rapat dengan sistem pengurusan ekonomi yang akan membawa suatu perubahan besar kepada seseorang manusia dan status kedudukannya di sisi masyarakat. Dengan adanya sistem pengurusan ini yang akan mencetuskan nilai-nilai peradaban dan mencorak-warnakan etika kehidupan, bererti seseorang itu telah mempunyai diari kehidupannya sendiri yang diatur-galur dan disusun mengikut kerja-kerja yang akan dilaksanakan, dia telah mempunyai perancangan-perancangannya sendiri untuk membentuk aktiviti hidupnya agar kehidupan itu terancang dan berjalan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan mengikut elemen-elemen kemanusiaan, dia telah mengatur jadual kehidupannya sendiri untuk melaksanakan sesuatu perkara yang boleh memberi kepuasan kepada nilai-nilai kemanusiaannya dan dia pasti yakin bahawa tindakannya itu adalah tindakan yang produktif dan efektif yang akan membawa keuntungan kepada pembangunan dirinya dan jiwa raganya.


[1] Tafsir Al Quran Al ‘Azim (Tafsir Ibn Kathir), oleh: Abu Al Fida Ismail Ibn Kathir, hal: 361, juz: 4, Dar Ar Rayan Lil Turath, Kaherah, 1988.
[2] Mushaf Al Burhan, Yayasan Penyelenggara/ Penafsir Al Quran, hal: 551, Yayasan Penyelenggara/ Penafsir Al Quran, Indonesia, 2009.
[3] Tafsir Al Baghawi Al Musamma Ma’alim Al Tanzil, oleh: Imam Ibn Sa’ud Al Baghawi, hal:309 juz: 4, Darul Kutub Al ‘Ilmiyah, Beirut, 1993
[4] At Tafsir Al Kabir, oleh: Imam Fakruddin Ar Razi, hal: 274, juz: 15, Dar Al Kutub Al Ilmiyah, Beirut, 1990.
[5] Al Jamie’ Li Ahkam Al Quran, oleh: Imam Al Qurtubi, juz: 9, hal: 57, Dar Al Kutub Al ‘Ilmiyah, 1988.
[6] Ibid
[7] Al Jamie’ Li Ahkam Al Quran, oleh: Imam Al Qurtubi, juz: 9, hal: 57, Dar Al Kutub Al ‘Ilmiyah, 1988.
[8] Tafsir Al Baghawi Al Musamma Ma’alim Al Tanzil, oleh: Imam Al Baghawi, hal: 309, juz: 4, Dar Al Kutub Al ‘Ilmiyah, Beirut, 1993.
[9] Jami’e Al Bayan ‘An Takwil Ayi Al Quran ( Tafsir At Tabari), oleh: Imam Ibn Jarir At Tabari, hal: 89, juz: 28-29, Dar Al Fikr, Beirut, 1988.
[10] Ruh Al Ma’ani Fi Tafsir Al Quran Al ‘Azim Wa Al Sab’ei Al Mathani, oleh: Imam Al Alusi, hal: 89, juz: 14, Dar Al Fikr, Beirut, tt.
[11]Fi Zilal al-Qur’an, oleh: Syed Qutb, hal: 3559, juz: 6, Dar Al Syuruq, Beirut, 1994.
[12]  Al Asas Fi At Tafsir, oleh: Said Hawa, hal: 5886, juz: 10, Dar As Salam, Kaherah, 1989
[13] Khuluq Al Muslim, oleh: Muhammad Al Ghazali, hal: 26, Dar Ad Dakwah, Iskandariah, 1989.
[14] A afat ‘Ala At Tariq, oleh: Dr As Syed Muhammad Nuh, hal: 45, juz: 2, Dar Al Wafa, Kaherah, 1990.
[15] Uslub Ad Dakwah Al Quraniyah Balaghah Wa Minhaj, oleh Dr. Abdul Ghani Muhammad Said Barakah, hal: 194-195, Maktabah Wahbah, Kaherah, 1983
[16] Takrif ‘Am Bi Deen Al Islam, oleh: Ali Al Tantawi, hal: 190, Dar Al Wafa, Kaherah, 1989.
[17] Al A‘mal Al Kamilah, oleh: Abdul Qadir ‘Audah, hal: 8-9, Al Mukhtar Al Islami, Kaherah, 1994.
[18] Usul Ad Dakwah, oleh: Dr. Abdul Karim Zaidan, hal: 333, Muassasah Ar Risalah, Beirut, 1993.
[19] Beliau ialah Abu Amr Ismail bin Najib, meninggal dunia di Mekah pada tahun 366H/977M. Beliau adalah seorang sangat zuhud kepada Allah.
[20] Risalah Al Qusyairiah, oleh: Abu Al Qasim Abdul Karim bin Hawazin Al Qusyairi, hal: 198, Dar Al  Khair, Beirut, 1991